Subscribe Now: Feed Icon

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri


Share/Bookmark

Utusan Malaysia Online - Dalam Negeri


Tawaran Sarjan dapat kembangkan pengajian jurusan keselamatan

PETALING JAYA 14 Mac - Pengumuman Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar semalam bahawa siswazah lulusan diploma berpeluang menyertai Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pangkat Sarjan turut disambut baik oleh penggerak industri pendidikan.
Langkah itu dilihat dapat memberikan peluang kepada lepasan diploma menyertai PDRM dengan skim perkhidmatan lebih baik berbanding mereka yang menyertai pasukan keselamatan itu menggunakan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Pengarah Pembangunan Perniagaan (Akademi Keselamatan) Kolej Saito, Datuk Kamaruddin Mohd. Ismail berkata, pihaknya bersedia membantu PDRM untuk melengkapkan pasukan keselamatan itu dengan pegawai yang berpengetahuan tinggi, termasuk dalam mengendalikan siasatan.
''Sebenarnya dengan diterima masuk kepada pangkat Sarjan, seseorang anggota itu akan menerima skim perkhidmatan yang agak tinggi.
''Ini suatu yang baik dan ini memperlihatkan laluan kerjaya yang baik kepada lulusan diploma untuk memasuki pasukan polis," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Kelmarin, Ismail mengumumkan skim baru dalam PDRM iaitu akan menerima kemasukan lulusan diploma dengan ditawarkan pangkat Sarjan tidak lama lagi.
Melalui skim itu, mereka berpeluang menikmati kenaikan pangkat dalam tempoh lima tahun berbanding 10 hingga 15 tahun sebelum ini.
Kamaruddin yang juga bekas Ketua Polis Johor berkata, langkah PDRM itu dilihat dapat mengembangkan lagi bidang pengajian jurusan pengurusan keselamatan dan sekuriti yang kini masih di tahap agak rendah berbanding negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS).
''Pengumuman Ismail itu memang tepat dan kami berhasrat membantu usaha tersebut melalui bidang pengurusan keselamatan yang ditawarkan oleh Kolej Saito.
''Sebenarnya kami adalah institusi pengajian tinggi pertama menawarkan diploma dalam bidang keselamatan secara komprehensif, termasuk penyiasatan tempat kejadian jenayah (CSI), pengurusan krisis keselamatan dan sistem kehakiman jenayah," katanya.
Beliau yang juga bekas Pengurus Besar Kanan (Keselamatan dan Sekuriti) Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB) berkata, setakat ini Kolej Saito mempunyai 80 penuntut daripada kalangan anggota polis yang mengambil Diploma Pengurusan Keselamatan.
''Kami merancang membuat pengambilan kira-kira 130 orang lagi dalam kalangan anggota polis tahun ini, selain membuka ruang pengambilan dalam kalangan anggota agensi-agensi penguat kuasa yang lain.
''Melalui pengajian komprehensif dalam bidang keselamatan, kami yakin ia dapat membantu pasukan polis memantapkan pengetahuan dan kemahiran mereka," katanya.

0 comments: